Permainan
ini bertujuan menentukan pasukan mana yang mempunyai bilangan ahli paling
ramai. Tiada sebarang alatan diperlukan, cuma sebuah lagu yang menarik
dinyanyikan untuk mengiringi setiap langkah permainan.
Cara Bermain
Dua orang dipilih menjadi ketua, kebiasaanya
bertubuh besar dan menggunakan nama samaran yang hanya diketahui oleh mereka
berdua sahaja. Kedua-dua ketua ini akan berhadapan antara satu sama lain dengan
memegang tangan masing-masing yang diangkat keatas, bagi memudahkan para
ahlinya melintasi dibawahnya. Semasa ini sebuah nyanyian dialunkan 'Jan-jan
jala Jala itik jala ayam. Berapa lubang kancil? Seratus lima puluh. Singgah Cik
Dayang singgah. Makan sirih mulut merah." Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan,
ketua-ketua itu akan menangkap pemain terakhir yang sedang melintas.
Menentukan Pemain
Setelah itu, pemain yang ditangkap tadi
dibawa ke tempat lain oleh ketua-ketua itu untuk disoal. Kemudian mereka
menyebut nama samaran yang telah ditetapkan sebelum permainan. Pemain yang
ditangkap itu dikehendaki memilih salah satu nama tersebut. Pemain-pemain tadi
dikehendaki berdiri di belakang ketua yang mana namanya dipilih oleh ahli tadi
dengan merahsiakan nama pilihannya kepada ahli yang lain. Kemudian permainan
dimulakan semula seperti awal tadi, sehinggalah semua pemain selesai memilih
ketua masing-masing.
Pertukaran Pemain
Jika ada kumpulan mempunyai jumlah ahli yang
lebih ramai daripada kumpulan yang satu lagi, rayuan boleh dibuat untuk
pertukaran ahli bagi mengimbangkan jumlah ahli setiap pasukan. Bagaimanapun,
pertukaran hanya boleh dibuat setelah persetujuan di antara kedua-dua belah
pihak dicapai. Jika tidak mahu membuat pertukaran, permainan akan tamat di situ
dan ketua itu dikira menang, kerana mempunyai ahli yang paling ramai.
Sebaliknya jika ini terjadi, satu perlumbaan
dilakukan. Untuk itu, satu garisan dibuat bagi membolehkan kedua-dua pasukan
beradu kekuatan. Kedua-dua ketua pasukan berdiri sama jauh dari garisan dan
tangan mereka berpaut antara satu sama lain. Pemain-pemain lain beratur di
belakang ketua masing-masing sambil memegang pinggang. Kedua-dua ketua pasukan
berusaha menarik antara satu sama lain supaya melangkah garisan itu, dengan
ahli lain membantu, seperti tarik tali. Jika pasukan yang kurang ahlinya itu
berjaya menarik pasukan lawan melintasi garisan itu, pasukannya dianggap
menang. Maka dia boleh meminta sejumlah pemain yang dikehendakinya untuk
mengimbangi pasukannya dengan pasukan yang satu lagi itu. Sebaliknya, jika
pasukannya gagal berbuat demikian, maka dia dianggap kalah.
Tweet |